CERAPAN GERHANA BULAN PENUH ANJURAN BALAI KHAZANAH ISLAM SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH & PERSATUAN ASTRONOMI BRUNEI DARUSSALAM (PABD)
Published On : Sunday, 07 September 2025
Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan kerjasama Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD) telah mengadakan aktiviti Cerapan Gerhana Bulan di kawasan lapang depan bangunan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah semalam bagi menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku awal pagi hari ini.

Cerapan Gerhana Bulan yang diadakan di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah tersebut adalah bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk sama-sama menyaksikan fenomena gerhana yang merupakan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan Allah dan juga bertujuan untuk menambah pengetahuan Ilmu Falak.
Gerhana bulan berlaku apabila bumi berada di antara matahari dan bulan, lalu cahaya matahari yang sepatutnya sampai ke permukaan bulan terhalang oleh bumi. Dalam keadaan ini, bayang-bayang bumi jatuh ke atas bulan.
Menurut data astronomi, gerhana bulan bermula apabila bulan mula memasuki bayang penumbra bumi pada Ahad, 7 September 2025 sekitar pukul 11.28 malam waktu Brunei dan mencapai fasa penuh (kemuncak) pada sekitar 02.12 pagi, Isnin, 8 September 2025 dan berakhir sepenuhnya pada 4.55 pagi, ketika bulan keluar daripada bayang penumbra bumi.
Semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara juga mengadakan solat sunat Gerhana Bulan dengan tumpuan utama di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Mengimamkan solat sunat Gerhana Bulan dan menyampaikan khutbah di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah Yang Mulia, Adee Aiman bin Haji Muhidin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Bebatik Mukim Kilanas.
Selain dari itu, aktiviti sempena Cerapan Gerhana Bulan Penuh ini juga disertai akiviti-aktiviti menarik seperti soalan kuiz (kahoot), padan gambar mengikut info, mewarna, teka silang kata dan angka matematik Islam dan aktiviti jual-jualan.